30/05/2013

SEBELAH SAYAP



Apa yang menariknya video Mat Lutfi 'Sebelah Sayap' ini?

Pertama kali saya rasa video 15 minit yang penuh dengan mesej yang mendalam. Perasaan yang bercampur-baur yang pada mulanya hanya biasa-biasa tetapi akhirnya menimbulkan kesedaran yang nyata. *sebak*

Bagaimana orang yang mengaku dirinya 'membantu' walhal sebenarnya setakat mengusutkan keadaan. Bagaimana orang yang mengaku dirinya hebat dengan ilmu walhal perilaku tak melambangkan orang berilmu.

Islam itu sempurna. Dari segala macam benda. Segala macam aspek dan sisi. Kita yang harus buka mata. Memandang segalanya bukan sekadar teori atas kertas sahaja dan bukan sekadar mendengar ceramah-ceramah agama sahaja. Tetapi seharusnya memandang dengan pandangan yang lebih dari itu. Memandang dengan mata hati.

Janganlah kita melebihi Tuhan. Dengan menghukum orang itu akan ke neraka, orang itu dosanya tidak akan diampunkan Tuhan. Kita siapa untuk menghukum manusia kerana kita juga manusia hina. Rahmat ALLAH itu luas. Rasulullah bersabda: seseorang telah melakukan satu dosa lalu dia berkata

"Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku." Lalu ALLAH berfirman: hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya". Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata "Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku. Lalu ALLAH berfirman:
“Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa tetapi menceritakan tentang seseorang hamba yang bertaubat bersunguh-sungguh namun gagal mengawal diri lalu tetap terjatuh ke dalam lembah dosa tersebut.

Tetaplah berdoa meminta keampunan dan berusaha untuk tidak melakukan dosa. Allah tidak pernah berkata 'Tidak guna kau bertaubat. Sudah berapa kali kau tetap gagal atas taubatmu." TIDAK! ALLAH TIDAK PERNAH berkata demikian kerana Dia yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi maha Mengasihani”. (Al-Zumar:53)

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadang-kala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan manusia lain, namun ALLAH tidak pernah menutup pintu selagi insan yang berdosa itu insaf dan benar-benar kembali kepada-Nya.

Jadi, usah kecewa dengan diri sendiri dalam mencari jalan pulang ke pangkuan Tuhan. Agama itu begitu lunak. Pintu untuk mendekatiNya tidak pernah dikhususkan untuk orang tertentu semata-mata.

“Sesungguhnya ALLAH menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat Al-Tarmizi)

#Penawar Duka pengubat Sengsara#




3 comments: